Thursday, March 18, 2010

LAWATAN KE PENJARA WANITA KAJANG 2009

ahli rombongan diberi taklimat mengenai peraturan penjara sebelum lawatan

taklimat dari pegawai yang bertugas

Yg. Bhg Datin Norlia menandatangani buku pelawat



ajk Perkim Wanita Caw. Ulu Kelang bergambar ramai-ramai di pintu masuk
Penjara Wanita Kajang




LAPORAN LAWATAN PERKIM
WANITA CAWANGAN ULU KELANG KE
PENJARA WANITA KAJANG
(11th APRIL 2009)

PERKIM Wanita Caw. Ulu kelang telah berjaya merealisasikan satu lagi program yang telah dirancangkan untuk ahli-ahlinya iaitu mengadakan lawatan sambil beramal ke Penjara Wanita Kajang pada 11hb. April, 2009 yang lalu. Ahli rombongan yang terdiri daripada semua Biro-biro telah menyumbang barangan seperti tuala wanita, lampin pakaibuang bayi, susu dan makanan bayi sepertimana yang telah dimaklumkan oleh pihak penjara keperluan-keperluan asas yang diperlukan banduan.

Disertai oleh hampir 30 orang ahli serta ketua-ketua biro dan Pengerusi Perkim Wanita Caw. Ulu Kelang. Yg. Bhg Datin Norlia begitu teruja untuk mengetahui situasi sebenar tentang penjara wanita yang menempatkan banduan wanita dari berbagai bangsa dan warganegara yang menjalani hukuman kerana pelbagai kesalahan dan jenayah. Penjara Wanita Kajang (PWK) adalah bersebelahan penjara lelaki yang menempatkan banduan yang menjalani pemulihan rawatan dadah.

Ketibaan ahli rombongan telah disambut oleh Pn. Norhashimah selaku pegawai yang bertanggungjawab memberi penerangan latarbelakang sejarah penjara, peraturan serta larangan dan bahan-bahan larangan seperti alkohol, senjata api, rokok, kamera dan lain-lain yang tidak dibenarkan dibawa oleh pelawat. Sebelum dibawa melawat bahagian/blok penjara tersebut, setiap ahli rombongan perlu diperiksa (body Scan) serta tidak dibenarkan membawa barangan peribadi.

Kebanyakan banduan yang ditempatkan disitu terdiri dari warga asing yang mendominasi hampir lebih 1,400 orang yang disabitkan dengan pelbagai kesalahan berkaitan dengan Jabatan Imigresen kerana melanggar akta-akta keselamatan seperti bekerja/tinggal tanpa permit/visa yang sah. Banduan yang disabitkan dengan hukuman mati hanya seramai empat orang yang masih menunggu keputusan rayuan dari mahkamah. Terdapat seorang banduan tempatan berbangsa India menjalani hukuman seumur hidup. Banduan-banduan ini ada yang berusia seawal 17 tahun yang telah disabitkan dengan kesalahan penyalahgunaan dadah dan lebih mengejutkan ada juga banduan yang telahpun lanjut usia hampir 70 tahun. Keseluruhan banduan yang ada menjalani hukuman masing-masing di PWK tidak melebihi 2,000 orang.

Ahli rombongan dibawa ke bahagian/blok pemulihan dan rawatan (sick-bay) dimana banduan yang memerlukan sebarang rawatan kesihatan atau tidak sihat akan dipantau/periksa oleh pegawai kesihatan yang bertugas. Ditempatkan juga 'sudut taska' khas untuk anak-anak banduan itu sendiri. Mereka dijaga oleh ibu-ibu sendiri atau banduan yang ditugaskan sambil dikawal oleh pegawai berkenaan. Kanak-kanak itu akan berada di penjara sehinggalah berumur 4 tahun kemudian akan diserahkan kepada keluarga/waris banduan untuk dipelihara sehingga banduan habis menjalani hukuman. Jika tiada ahli keluarga yang sanggup, kanak-kanak ini akan dihantar ke Jabatan Kebajikan Masyarakat. Terdapat juga banduan-banduan yang sedang sarat mengandung antaranya 6-9 bulan. Seterusnya,ahli rombongan telah dibawa melawat blok yang menyediakan makanan (dapur). Sebahagian dari banduan ini ditugaskan untuk menyediakan sarapan, makan tengahari dan malam untuk keseluruhan banduan di penjara tersebut.
Ahli rombongan telah dibawa ke blok yang menempatkan bahagian latihan komuniti / kerja tangan dan kemahiran. Disini banduan-banduan akan dilatih mengikut skil atau kemahiran serta minat masing-masing sebagai satu tugas untuk mereka menerokai bidang yang mereka suka untuk dimanfaat apabila mereka keluar dari penjara.

Antara kemahiran-kemahiran yang mereka pamirkan adalah mencanting batik, pengurusan salun dan spa, jahitan dan sulamanik serta kraftangan. Hasil kerja/ produk-produk mereka akan dihantar luar dari penjara untuk pasaran tempatan. Orang awam juga boleh mendapat khidmat salun dan spa yang ditempatkan diluar bangunan penjara.

Di akhir lawatan, ahli rombongan telah berpeluang untuk meneliti hasil kerja banduan seperti barangan kraf, baju-baju batik untuk wanita dan lelaki, baju kanak-kanak serta cadar-cadar dan baju sulamanik yang telah siap dijahit. Makanan sejuk beku / kek dijual dengan harga yang berpatutan.

Pegawai penjara N28 Puan Norhashimah telah berbesar hati menyediakan makan tengahari ihsan dari pihak penjara serta cenderahati berupa replika lukisan batik diserahkan kepada Yg. Bhg Datin Norlia selaku wakil rombongan. Sebelum meninggalkan PWK ada diantara ahli rombongan yang menyumbang secara peribadi kewangan untuk disalurkan kepada kanak-kanak spastik, banduan-banduan serta anak-anak mereka. Sesi bergambar beramai-ramai diluar pintu masuk penjara mengakhiri sehari perjalanan di Penjara Wanita Kajang oleh ahli-ahli Perkim Cawangan Ulu Kelang.

Lawatan ini sedikit-sebanyak telah memberi kesedaran serta pengajaran betapa masih ada wanita-wanita yang tidak bernasib baik atau terjerumus dalam permasalahan hidup yang berakhir dengan kehidupan di dalam penjara sama ada kerana kesalahan-kesalahan ringan hingga ke jenayah berat. Walaubagaimanapun, harus diingati setiap kesalahan yang dilakukan tetap akan dihakimi oleh undang-undang yang ditetapkan walau di negara mana kita berada.



Disediakan
Puan Sophia Othman
Pen. Setiausaha
Perkim Wanita Pen.Caw. Ulu Kelang

No comments:

Post a Comment