Monday, November 8, 2010

Lawatan ke Rumah Seri Kenangan Cheng, Melaka

bergambar beramai-ramai sebelum berangkat pulang di luar pintu masuk Seri kenangan Cheng




Yg Bhg Datin Patimah Hj Ismail ..Timbalan Pengerusi Perkim Caw Wanita Ulu kelang dan Ketua Penyelaras rombongan, Puan Hjh Kalsom Adam ... menyampaikan sedikit sumbangan tunai dari Perkim dan Biro Dakwah kepada Penyelia Bertugas Rumah Seri Kenangan Cheng, Encik Abdul Razak..



ahli rombongan ketika mendengar taklimat dan sejarah mengenai Rumah Seri Kenangan Cheng ini daripada Penyelia bertugas pada hari tersebut.....






Setelah beberapa kali tertunda atas sebab2 yang tidak dapat dielakkan kerana faktor kesuntukan masa dan kepadatan program-program sebelumnya, jawatankuasa Biro Dakwah yang diketuai oleh Puan Hjh Kalsom Adam telah berjaya mendapat kelulusan dari pihak rumah kebajikan orang-orang tua ini untuk mengadakan lawatan singkat ke sini pada 6hb November 2010 yang lalu. Rombongan ahli Perkim Cawangan Wanita Ulu Kelang juga telah membawa sumbangan berbentuk makanan serta derma kilat sewaktu taklimat di sini untuk disampaikan kepada Pentabiran Rumah Seri Kenangan Cheng ini disamping sumbangan tunai dari pihak Perkim dan Biro Dakwah khususnya disampaikan oleh Yg Bhg Datin Patimah Hj Ismail selaku Timbalan Pengerusi kepada penyelia yang bertugas iaitu Encik Abdul Razak.

Menurut Puan Kalsom Adam selaku ketua rombongan ini, tujuan dan matlamat diadakan lawatan sebegini memandangkan aliran pemikiran manusia hari ini banyak tertumpu kepada kebendaan dan keduniaan sekaligus memperlihatkan betapa nilai-nilai agama semakin rapuh dan dilupakan.
Akibatnya institusi kekeluargaan makin goyah bila tiada lagi kekuatan iman dan taqwa yang mengimbangi kehidupan kita.
Kata beliau lagi, lawatan ini bertujuan memanjangkan ukhuwah serta keperihatinan untuk mengenali dan menyelami perasaan para penghuni yang terdiri dari pelbagai kaum. Puan Kalsom juga berharap ahli-ahli rombongan mendapat iktibar dan menjadikannya sebagai pengajaran untuk menginsafi betapa semakin ramai dikalangan kita yang masih bergelar anak begitu tegar menghantar ibubapa mereka setelah mereka menginjak ke usia tua ke rumah-rumah kebajikan orang-orang tua seperti Rumah Seri Kenangan Cheng ini. Mereka seolah-olah telah mengenepikan tanggungjawab dan kewajiban terhadap ibubapa masing-masing.
Daripada taklimat dan penerangan Penyelia yang bertugas pada hari itu, Encik Abdul Razak kebanyakan penghuni di Seri Kenangan Cheng adalah dari bangsa Melayu yang mempunyai anak-anak yang amat berjaya dalam kehidupan tetapi tidak mahu menggalas beban menjaga ibubapa mereka. Beliau menegaskan banyak faktor yang menyumbang kepada kejadian seumpama ini. Alasan yang diberikan oleh ahli keluarga penghuni disini bahawa mereka tidak mempunyai masa untuk menjaga ibubapa mereka amatlah tidak rasional. Jelas sekali para penghuni disini amat ketandusan kasihsayang dan merindui kehidupan normal di dalam suasana kekeluargaan terutama di musim-musim perayaan.
Kebanyakan penghuni Seri kenangan Cheng ditempatkan di beberapa asrama yang disediakan berdasarkan kategori yang berlainan. Mereka yang sihat dan cergas ditempatkan asrama berasingan manakala yang tidak sihat dan kurangupaya pula ditempatkan di asrama dimana para petugas boleh memberi tumpuan dan penjagaan yang lebih kepada mereka.
Jadual dan aktiviti seharian telah ditetapkan oleh pihak pengurusan dan pentadbiran untuk memastikan kebajikan para penghuni disini terjaga rapi tidak kira dari segi pemakanan, kesihatan, aktiviti riadah malah khairat kematian sekalipun. Para penghuni juga sekali sekala akan dibawa keluar dari pusat jagaan ini sebagai satu riadah supaya mereka tidak merasa terpinggir dari kehidupan yang normal.
Ahli rombongan diberitahu bahawa Rumah Seri Kenangan Cheng amat bertuah mendapat sokongan dan bantuan dari kerajaan Negeri Melaka serta orangramai dan perseorangan yang menghulurkan bantuan dan sumbangan dari segi kewangan dan material. Menurut Encik Abdul Razak penghuni terkini di Rumah Seri kenangan Cheng ini berjumlah 250 orang dan dibawah kawalan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Melaka.
Sementelah usai taklimat dan penerangan ringkas tersebut ahli rombongan telah dibawa melawat asrama-asrama yang menempatkan penghuni disini. Kesempatan ini diambil oleh yang hadir untuk lebih mengenali dan mendengar kisah-kisah sedih yang menimpa mereka sehingga ditempatkan di rumah kebajikan ini. Ahli rombongan telah diingatkan bahawa tidak dibenar sama sekali merakam gambar ketika berada di asrama untuk menjaga kepentingan penghuni dan peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak pentadbiran supaya tidak disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu.
Di akhir lawatan yang singkat tetapi amat bermakna ini, semoga ahli-ahli rombongan membuka pemikiran masing-masing betapa perlu dititikberatkan kasihsayang dalam institusi kekeluargaan terutama kepada ibubapa yang melahirkan, membesarkan dan mendidik anak-anak sehingga dewasa dan berjaya dalam kehidupan. Iktibar dan kisah-kisah sedih para penghuni Seri kenangan Cheng menjadi pedoman dan keinsafan supaya terpahat di minda untuk merenungi "dari mana, untuk apa dan kemanakah kita di penghujung sebuah kehidupan ini. Harapan dan hasrat supaya tidak diulangi kitaran hidup yang sama seperti kehidupan para penghuni rumah-rumah kebajikan ini.
Teks disediakan oleh:
Puan Sophia Othman
Ketua Biro Penerbitan & Seranta
Perkim Caw Wanita Ulu Kelang
November 2010